Kerjaya lakonan Siti_Nordiana

Di samping aktif sebagai penyanyi, Nana juga pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan. Beliau pernah berlakon dalam beberapa buah drama seperti Wad 04, Helah, Prahara bersama Achik Spin , 3 Dara Pingitan, Nenas Dan Ikanku, Aku Budak Minang 2 dan Anak Tengi.

Nana muncul dalam drama bersiri arahan Michael Ang, Dia Semanis Honey (2016) yang diadaptasi daripada novel karya Dila Dyna. Lakonan Nana dan Alif Satar mendapat tempat di hati peminat, sehinggakan drama Dia Semanis Honey menjadi kata carian paling banyak di Google Malaysia[5]. Atas permintaan ramai, drama ini disambung ke siri Dia Semanis Honeymoon sebanyak 5 episod dan telemovie Dia Semanis Honey Raya. Malah drama ini juga dipentaskan di pentas teater di Istana Budaya pada 3 Januari 2017 hingga 9 Januari 2017[6]. Atas permintaan peminat, teater Dia Semanis Honey Muzikal ini telah disambung sehingga 12 Januari 2017. Lakonan bersahaja Nana dan Alif membuatkan penonton mahu mereka terus digandingkan untuk drama-drama lain pula[7].

Selain itu, Nana juga digandingkan bersama Fikry Ibrahim melalui telefilem Cekelat Semanis Honey sebagai Maya.

Pada tahun 2018, Nana kembali digandingkan bersama Alif menerusi drama Klik! Pengantin Musim Salju sebagai Kasih Lateefa atau Kay. Gandingan ini sekali lagi menjadi tumpuan penonton. Gaya lakonan Nana amat baik dalam melakonkan watak Kay yang bersifat bersahaja dan kasar menaikkan lagi nama Siti Nordiana dalam bidang lakonan. Malah, lagu tema bagi drama ini iaitu Sebenarnya turut menampilkan Nana bersama Alif. Namun begitu kedua-duanya mengumumkan akan berehat dari digandingkan bersama dalam mana-mana drama. Nana sekali lagi kembali digandingkan bersama Fikry Ibrahim menerusi telefilem Cekelat Tak Semanis Honey dan drama Cekelat Honey yang turut dilakonkan oleh Zarul Umbrella, Zulin Aziz, Syura, Intan Sarafina, Nonny Nadirah, Dafi dan ramai lagi.

Pada tahun 2019, Nana telah digandingkan bersama Khai Bahar yang pertama kali berlakon dalam drama Satukan Rasa yang ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria. Satukan Rasa juga merupakan lagu duet mereka berdua yang turut dijadikan runut bunyi dalam drama ini. Drama ini turut dilakonkan oleh Nine Billy Zulkarnain, Yusof Bahrin, Raja Azmi dan ramai lagi.